Sejarah dan salah guna Morfina

Morfina diasingkan buat pertama kali pada tahun 1804 oleh Friedrich Wilhelm Adam Serturner, seorang ahli farmasi Jerman yang menamakan drug ini sebagai morphium bersempena Morpheus, dewa mimpi dalam mitologi Yunani. Namun, narkotik ini tidak digunakan secara meluas sehinggalah jarum hipodermik dicipta pada 1853. Ketika itu, morfina digunakan untuk melegakan kesakitan dan secara ironik, digunakan untuk "mengubati" ketagihan candu dan alkohol. Penggunaan drug ini secara meluas semasa Perang Saudara Amerika mengakibatkan 400,000 orang menghidapi penyakit tentera (iaitu ketagihan), walaupun sesetengah orang menafikan hakikat ini.

Heroin (diasetilmorphin) dihasilkan daripada morfina pada tahun 1874. Sebagaimana dengan drug yang lain, pemilikannya tanpa preskripsi merupakan satu jenayah di Amerika Syarikat di bawah Akta Cukai Narkotik Harrison 1914, dan di United Kingdom di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah 1917. Selain itu, penyalahgunaan dadah ini juga diharamkan di Malaysia di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1998).

Morfina merupakan analgesik narkotik yang paling disalahgunakan di dunia sehingga heroin disintesiskan dan dipergunakan. Sehingga hari ini, morfina masih merupakan narkotik preskripsi yang amat dicari-carikan oleh penagih-penagih ketika heroin sukar didapati.

Dalam sebuah kajian rawak uji buta ganda dua dengan pindah silang di sebuah klinik pesakit luar yang terletak di Bern, Switzerland, morfina terbukti mempunyai kesan-kesan sampingan yang lebih teruk berbanding heroin pada dos analgesik yang sama. Kemurungan pernafasan, miosis, sedasi, rasa gatal, dan euforia adalah lebih ketara.